Thursday, November 5, 2009

ISTERI TINGGALKAN SUAMI OKU

ISTERI TINGGALKAN SUAMI OKU

Bismillahirahmannirahim..Razak (bukan nama sebenar) tidak peduli dengan keadaan sekeliling yang sibuk memperkatakan tentang kisah rumah tangganya. Malah sewaktu ditemui, dia redha dengan ketentuan Ilahi. Baginya kekurangan dirinya tidak seharusnya menjadi alasan kepada isterinya untuk menuntut cerai daripadanya. Namun apakan daya dia hanya insan biasa yang tidak dapat melawan dengan takdir hidupnya yang tidak selalunya indah.

Dari pandangan mata kasar, Razak sempurna sifatnya. Ada mata, hidung, sepasang kaki dan tangan. Cuma dirinya tidak berupaya untuk bercakap dan mendengar seperti orang normal yang lain. Dia dikategorikan sebagai pekak dan bisu. Oleh sebab, Razak tinggal di kampung dia tidak mendapat pendidikan yang sempurna sebagaimana anak-anak lain. Lagipun, pada zaman itu kepentingan pendidikan untuk kanak-kanak cacat sepertinya tidak begitu digalakkan dan orang tua pada zaman itu sebolehnya akan menyorokkan anak-anak mereka dari terdedah dengan dunia luar.

Setelah remaja, Razak mulai menyimpan keinginan untuk berkawan dengan teman-teman wanita yang lain. Kelebihannya, Razak mempunyai paras rupa yang segak dan mudah menawan hati remaja-remaja wanita di kampungnya. Razak sedikit pun tidak mengambil kesempatan dengan anugerah semula jadi yang ada pada dirinya itu. Entah kenapa sejak bertemu dengan gadis yang baru berpindah ke kampungnya itu, perasaan Razak mula tidak keruan. Jiwanya merontaronta bagaikan mahu mengenali gadis bernama Aridah itu. Orangnya kecil molek dan manis tutur katanya. Rupanya Razak tidak bertepuk sebelah tangan, walaupun dirinya bisu dan pekak Aridah sudi berkawan dengannya. Hampir tiga bulan mereka menjalinkan persahabatan, Razak akhirnya meminang Aridah. Hasrat Razak tidak mendapat bantahan dari mana-mana pihak. Sebaliknya mereka merestui keinginan Razak dengan sepenuh hati.Sebaik sahaja diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri, Razak mengambil keputusan untuk tinggal berasingan dari keluarganya. Keputusan Razak mendapat bantahan ibunya, apatah lagi Aridah belum begitu mahir untuk memahami bahasa pertuturan Razak. Ibunya bimbang menantunya itu nanti tidak dapat memperoleh kata sepakat dengan suaminya apabila tinggal berasingan. Razak enggan menurut saranan ibunya malah tetap berdegil untuk keluar dari rumah keluarganya. Tetapi dia memilih untuk menyewa berdekatan dengan keluarga. Sekurangkurangnya apabila ada halhal yang tidak diingini, keluarganya dekat di sisi dan pertolongan dapat diterimanya dengan pantas. Hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, Razak dan Aridah dikurniakan sepasang anak-anak yang comel. Anak sulungnya seorang lelaki manakala anak keduanya perempuan.Akibat panas baranPada tahun ketiga inilah rumah tangga Razak mengalami pergolakan. Aridah mulai tidak memahami Razak, apatah lagi pada masa ini Razak tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Dia sekadar bekerja di kampung dengan pendapatan yang tidak menentu. Selama tiga tahun Aridah cuba bersabar dengan perangai suaminya. Razak memanglah seorang lelaki yang baik dan cukup disanjungi oleh masyarakat kampung itu kerana kerajinannya. Sebaliknya Aridah tidak dapat bertahan dengan keegoan yang ada pada diri suaminya itu. Pantang tersilap sedikit, pasti isterinya itu akan menjadi mangsa pukulan Razak. Sikap panas barannya itulah membuatkan Aridah kerap kali berkecil hati. Tetapi marahnya itu tidak dapat diluahkan kepada sesiapa. Jika dimaklumkan kepada ibunya pasti mereka tidak akan mempercayai kata-katanya itu.Suatu hari Aridah memasakkan makanan kegemaran suami. Kesibukannya menguruskan hal di dalam rumah di samping menjaga dua orang anak kecilnya itu membuatkan Aridah terlupa untuk menghidangkan makanan kegemaran suaminya itu. Akibatnya makanan yang telah siap dimasaknya itu dibuang di dalam tong sampah. Aridah benarbenar patah hati dengan perangai suaminya itu. Bukan dia tidak pernah cuba berbaikbaik dengan suami, malangnya usahanya itu hanya dipandang dingin oleh suaminya.Aridah cuba mencari apakah cara terbaik untuk memberitahu suami tentang perasaannya ketika itu. Akhirnya dia cuba mencari kedamaian dengan caranya yang tersendiri. Aridah mula menyibukkan dirinya dengan berniaga kain di kampungnya. Ketika itulah dia dapat melupakan masalahnya. Ternyata perniagaannya mendapat sambutan yang hangat dari orang kampungnya. Dari satu rumah ke satu rumah dia bertamu sampai sebelah malam barulah dia pulang ke rumah. Aridah tidak mempunyai masalah kerana kedua-dua orang anaknya itu diletakkan di bawah pengawasan ibu mentuanya.Dalam sibuk berniaga inilah, Aridah telah berkenalan dengan seorang lelaki. Puas dia cuba menepis setiap godaan lelaki tadi. Setiap kali ditepisnya, ada sahaja perbuatan Razak yang menyakitkan hati. Akhirnya dia terpaksa juga meluahkan isi hati kepada lelaki yang benar-benar mahu mendengar rintihannya itu. Bagaikan ada kuasa yang membisikkan ke hatinya, Aridah kemudian lari meninggalkan suami keseorangan. Jauh dia pergi bersama dua orang anak-anaknya itu. Tinggallah Razak keseorangan tanpa isteri dan anak-anaknya. Masa terus berlalu, anak-anak Razak pun telah dewasa dan kembali mencarinya. Namun, sampai hari ini bekas isterinya itu tidak pernah sekalipun datang menjenguknya.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Followers